Thursday 27 June 2013

Honda Future 101 - Cara servis / tukar minyak enjin Honda Future

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada entry kali ni saya akan kongsikan kepada anda cara untuk servis atau tukar minyak enjin, atau kebiasaanya orang panggil minyak hitam, pada motor Honda Future. Cara tukar minyak hitam ni ada dalam buku manual Honda Future sebenarnya. Dan saya percaya, cara ini juga boleh digunapakai pada hampir kesemua kapcai di Malaysia, cuma mungkin berbeza pada kedudukan nat buang minyak enjin lama (engine oil drain plug), saiz drain plug tersebut, ada guna oil filter atau tak, dan beberapa faktor lain.

PERINGATAN! Cara ini mungkin boleh merosakkan drain plug dan/atau o-ring pada dipstick enjin motor anda jikalau anda terlebih ketatkan bahagian tersebut. Ketatkan secukup rasa sahaja. Jangan lebih, jangan kurang. Dan kalau boleh, lakukan kerja ini masa enjin motor tengah sejuk. Suam pun boleh. Kalau enjin tengah panas nak buat kerja pun susah, dan juga boleh meningkatkan risiko tangan melecur dan benang rosak (cross threading) pada drain plug dan/atau pada lubang drain plug. Tapi kalau nak buat masa enjin tengah panas pun boleh je. Suka hati korang la. Tangan korang kan. Motor korang kan. Ada aku kesah hahahah. Segala risiko yang diambil adalah atas diri sendiri, dan saya tidak akan bertanggungjawab atas segala kerosakan yang anda buat sendiri. Dapatkan nasihat pomen anda. Sendiri buat sendiri tanggung lah brooo.

Sebelum kita mula, antara barang yang diperlukan ialah :


- Kain lap (untuk lap mana yang patut)
- Torque wrench / spanar bulat saiz 17 (untuk buka/tutup drain plug)
- Playar gabung (untuk buka/tutup dipstick)
- Corong minyak (untuk senang nak isi minyak enjin baru)

- Bekas tadah minyak enjin lama (takkan nak tadah pakai tangan?)
- Penyukat cecair (untuk sukat minyak enjin)
- Minyak enjin kesukaan anda

Minyak enjin yang sesuai untuk Honda Future ada tertulis dalam buku manual Honda Future. Ini yang saya ringkaskan dari buku manual Honda Future mukasurat 67 :

Gred SAE 10W-30
API SG dan ke atas (API SH, SJ, SL, SM, SN)
Tanpa pelincir tambahan seperti 'graphite' atau 'molybdenum'
Tanpa 'energy conserving'
JASO MA (bukan JASO MB ke MC ke)
Disyorkan minyak enjin Honda, tapi boleh je nak pakai minyak enjin lain

Kalau anda tak faham apa benda menatang kat atas ni, tak apa. Ikut je apa yang disyorkan oleh Honda. Jangan bubuh minyak masak vesawit pulak. Tak pasal ada bau ayam goreng nanti.

Ok dah tahu minyak enjin yang sesuai, pertama sekali kita kenal pasti dulu kedudukan nat drain plug ni kat mana. Nat drain plug ni dia bersaiz 17, sebelah batang paip ekzos atau batang besi brek belakang. Sila tonggeng sikit tengok bawah enjin dan kenal pasti drain plug ini. Gambar sebagai rujukan.


Sila pastikan betul-betul ya. Jangan silap buka nat. Nat drain plug tu saiz 17, kedudukan dia dekat bawah enjin sebelah paip ekzos atau sebelah batang besi brek belakang, dan nat tu menghala terus ke bawah, supaya minyak enjin senang keluar. Tengok gambar kat atas dan bawah ni dan kenal pasti betul-betul nat yang mana satu yang harus dibuka. Jangan silap buka. Nanti enjin barai wakaka.


Ok bila dah kenal pasti dan konfem yang mana satu nat drain plug, boleh longgarkan nat drain plug bersaiz 17 tu dengan torque wrench. Kalau tak ada wrench, pakai spanar bulat pun boleh.


Pusing ke kiri untuk longgarkan drain plug tadi. Ingat, "righty tighty, lefty loosey".


Bila drain plug dah longgar, jangan buka dulu drain plug tu. Alas dulu bawah enjin dengan bekas tadah minyak enjin lama, dan pastikan bekas tadah tu selari dengan drain plug yang akan dibuka.


Lepas tu baru buka habis drain plug pakai tangan. Digalakkan pakai glove getah supaya tangan tak terkena minyak hitam. Kalau enjin panas, kena lebih berhati-hati. Minyak enjin tengah panas tu.



Maka jatuhlah minyak enjin...


Sementara tunggu minyak enjin lama keluar habis, anda juga boleh kickstart slow-slow masa minyak enjin lama tu tengah keluar, untuk membantu mempercepatkan proses pengeluaran minyak enjin. Kickstart pelan-pelan ya, bukan kickstart macam nak start motor. Cara kickstart slow-slow ni ada tulis dalam buku manual Honda Future mukasurat 69-70. Tapi kalau tak buat cara ni pun tak apa. Bukan wajib pun. Sementara minyak enjin yang lama ni nak keluar habis, anda pergilah minum kopi ke, tengok tv ke. Dah 3 jam nanti sambung la kerja balik haha.

Perhatikan pula gambar bawah ni. Nampak tak bulatan merah keliling drain plug tu? Itu adalah washer untuk drain plug. Sila pastikan washer ni ada sekali dengan drain plug. Kalau tak ada washer ni, jangan pasang balik drain plug. Kalau tak nanti lubang drain plug mungkin akan jadi 'cross-thread' bila anda cuba nak tutup balik lubang drain plug bawah tu. Kalau dah ter'cross-thread' memang hantar kedai je cerita dia.


So minyak enjin lama yang dah hitam tu nak buat apa? Buang. Buat minyak rantai ke. Minyak rambut ke. Tapi jangan buang kat longkang atau tanah. Kalau boleh cari lah botol yang tak guna, masukkan dalam tu, buang kat bengkel motor berdekatan anda. Biasanya kedai motor ada tong drum yang besar tu, memang khas untuk buang minyak enjin terpakai. Jagalah alam sekitar kita.


Lepas dah habis minyak enjin lama keluar, boleh lah tutup semula lubang drain plug bawah enjin tadi. Jangan lupa washer drain plug sekali. Kasi pusing drain plug pakai tangan dulu. Bila tangan dah tak kuat nak pusingkan drain plug, baru ketatkan pakai wrench / spanar. Ingat, ketatkan secukup rasa. Tak ketat sangat. Tak longgar sangat. Pandai-pandai la agak.



Pusing ke kanan nak tutup drain plug bawah tu. Diingatkan lagi sekali, secukup rasa je. Kalau terlebih ketat, haus bunga drain plug tu, tak pasal kena buat benang (threading) balik.


Selesai buang minyak enjin lama. Sekarang kita sumbat minyak enjin baru. Masukkan minyak enjin baru ke dalam penyukat cecair dalam 700ml. Saya masukkan 750ml, sebab selalu jalan jauh. So saya lebihkan sikit. Tapi jangan lebih banyak sangat, sampai 900ml ke 1 liter ke. Lemas enjin tu kalau banyak sangat minyak enjin.


Next, buka dipstick dengan playar gabung (kalau ketat lah). Pusing kiri untuk buka.


Dah buka, cek getah o-ring yang ada pada bawah penutup dipstick tu. Kalau dah koyak/pecah, kena ganti lain. Kalau tak nanti leaking / meleleh minyak enjin keluar dari lubang dipstick tu.



Next, masukkan corong minyak ke dalam lubang dipstick...


...dan tuang minyak enjin baru. 700ml je, jangan lebih banyak sangat.


Lepas dah tuang habis minyak enjin baru, masukkan balik dipstick, tutup kejap...


...panaskan enjin dalam 3-5 minit...


Buka balik dipstick tadi. Lap hujung bawah dipstick. Jangan ada kesan minyak sikit pun.


Celup dipstick ke dalam lubang enjin. Celup je, jangan tutup ke, pusing kiri kanan ke. Celup dalam 1 saat, lepas tu tarik keluar balik.


Dekat hujung bawah dipstick tu ada macam kawasan garisan bersilang, iaitu penanda paras minyak enjin. Cek paras minyak enjin anda. Sepatutnya minyak enjin berada pada paras antara HI dan LO. Kalau lebih sikit dari HI, tak apa. Yang penting jangan kurang dari LO.


Saya isi 750ml, jadi paras minyak enjin berada pada atas sikit dari HI. Kalau berada di bawah paras LO atau tak jejak langsung LO, topup sikit minyak enjin supaya berada di antara HI dan LO.


Kalau dah cun semua, boleh tutup lubang dipstick pakai playar gabung. Tak perlu ketat gila babun, cukup sekadar "tidak boleh dibuka oleh kekuatan jari manusia" haha. Tapi kalau anda jenis cek paras minyak enjin hari-hari, boleh tutup pakai tangan je. Tutup ketat ni sebab nak elak orang dengki bubuh pasir dalam enjin je. Mana la tau kan kot ada manusia suka pedajei motor orang.


Dengan menutup lubang dipstick tadi, maka selesai sudah upacara menukar minyak enjin sendirian berhad. Lepas ni boleh la anda riak ke kawan-kawan, aku tau tukar minyak hitam sendiri hahaha.

Sekali lagi diingatkan, risiko tanggung sendiri. Saya faham dan mengerti akan risiko penukaran minyak enjin ini sendiri, dan anda juga sepatutnya begitu. Saya tidak akan bertanggungjawab sekiranya motor Honda Future anda barai atau mempunyai masalah selepas anda mengikut cara ini. Dapatkan nasihat pomen atau orang yang lebih pakar. Saya cuma pomen asal boleh. Kepada yang masih ingin mencuba juga, saya ucapkan semoga berjaya dan jangan salah langkah haha. Entry ini sampai di sini saja. Majulah sukan permotoran untuk negara.

Honda Future 101 - Cara membuka tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entry kali ini dibawakan khas untuk anda oleh tuan presiden kita, Rashimy Abd Rashid. Baru-baru ni beliau ada buat satu projek baik punya, projek apa? Buat masa ni projek tu dirahsiakan.. Haha kalau nak tahu, follow blog ni. Kita akan update dari semasa ke semasa. :-)

Ok kali ni, seperti yang tertulis pada tajuk, kita nak buka tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future. Mungkin anda tertanya-tanya. "Nak buat apa buka?" "Buang masa je buka" dan macam-macam spekulasi lain. Kita pun bukan saja-saja suka-suka nak buka. Adalah benda nak buat. Nak buka absorber ke, nak buat wiring rahsia ke, nak servis fuel line ke, fikirlah sendiri nak buat apa.

Seperti biasa, segala kerja-kerja yang dilakukan adalah atas risiko sendiri. Anda tidak digalakkan untuk mengikut cara ini jika anda tidak yakin atau tidak tahu apa objektif anda untuk buka tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future ini. Dapatkan nasihat pomen yang terdekat.


Tu dia.. Tempat duduk terbuka sekali dengan kebuk simpanan, satu pakej. Jadi macam mana nak buka ni? Pertama sekali, kena ada alat yang sesuai, iaitu...



Tak tahu apa nama sebenar dia. Ada orang panggil spanar T, ada orang panggil T. Tapi ini sajalah yang diperlukan. T saiz 8mm.

Ok dah tahu nak guna alat apa, kita kenal pasti pula skru mana yang nak kena buka.


Nampak ada 2 skru dalam dan 2 skru luar kebuk simpanan tu? Skru ni yang kena buka supaya boleh buka tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future. Semua skru saiz 8.



Begitulah rupa skru saiz 8 tadi bersama lapiknya.


Kat tangki minyak ada wayar yang melekat kat tangki tu. Wayar ni yang menentukan minyak anda ada di paras mana di meter Honda Future anda. Wayar tu anda tarik keluar dari sendal dia...


...macam tu, supaya bila buka kebuk simpanan tu tak adalah tertarik sekali wayar tu. Tak apa, nanti nak pasang balik kita masukkan balik dalam sendal dia.

Kemudian boleh dah tarik slow-slow kebuk simpanan. Tarik slow-slow mula dari kiri...


...lepas tu kanan...


Hati-hati! Belah kiri kebuk simpanan tu ada satu cangkuk yang memegang wayar dan fuel line (aliran minyak) jadi anda kena tarik keluar wayar dan fuel line ni dulu dari cangkuknya supaya tak tercabut wayar dan fuel line ni.



Lepas tarik keluar wayar dan fuel line tadi dari cangkuknya, boleh dah tarik keluar slow-slow kebuk simpanan dan tempat duduk.

Ini rupa cangkuk yang dimaksudkan...



Tu dia kantoi skru driver baru beli.. Dengan ini terbukalah sudah tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future. Cara nak pasang balik, macam biasalah, gostan balik step di atas. Sekali lagi diingatkan, risiko tanggung sendiri. Rosak ke, patah sana sini ke, kami tak tanggung. :-)

Monday 17 June 2013

Honda Future 101 - Cara buka 'carburetor choke slider' pada Honda Future

Salam.. Ini adalah tutorial atau cara nak buka 'carburetor choke slider' pada motor Honda Future. Kenapa nak buka? Sebab beberapa pengguna Honda Future (termasuk saya) mengalami motor 'tersedak' bilamana motor dibawa dalam keadaan full throttle dalam jangka masa yg lama, bila dilepaskan throttle motor akan tersedak seperti tak cukup minyak atau minyak nak habis. Selain itu, masalah spring choke slider yg menolak choke slider supaya sentiasa terbuka, ada kemungkinan patah, menyebabkan situasi dari 120km/j menjadi 20km/j. Dengan membuka choke slider ni, hilanglah 2 masalah ni. Tapi ianya terpulang pada anda sendiri untuk buka atau tak. Motor sendiri, risiko tanggung sendiri.

Kalau anda tak pasti nak buka skru arah jam ke lawan jam ke, ingat pepatah omputeh ni. "Righty tighty, lefty loosey" maksudnya pusing kanan ketatkan, pusing kiri longgarkan. Walau bagaimanapun, pepatah ini tidak boleh digunapakai bila nak buka/pasang side mirror dan bilah kipas angin.

Jika motor anda susah nak bangun pagi dan memerlukan bantuan choke, anda tidak digalakkan untuk buka choke slider ni. Bersenam pagi-pagi (kickstart) sedangkan anda dah lambat nak pergi kerja pastinya sesuatu yg anda tak nak lalui.

Ok caranya seperti berikut :

1. Buka bakul, untuk memudahkan kerja. Tak buka (sesetengah) bakul pun boleh sebenarnya.


2. Buka cover hitam, belah kiri. Caranya, buka 2 skru atas bawah, tarik kepuk kiri dan pada masa yg sama tarik cover hitam ke kanan seperti ditunjukkan dalam gambar. Jangan kuat sangat tarik tu, nanti patah sana sini.


3. Bila dah buka cover hitam tu, buka skru yg mengikat carburetor dengan corong getah kotak angin seperti yg ditunjukkan anak panah dalam gambar.


4. Cover hitam belah kanan pun boleh buka untuk memudahkan kerja. Kalau dah terer, tak buka pun boleh. Caranya sama macam cover hitam belah kiri.


5. Cover hitam atas enjin pun kena buka. Kalau tak macam mana nak tengok mulut carburetor tu. Ada 2 skru. Skru bawah buka macam biasa, skru atas tu pusing sikit je, lepas tu tekan dengan jari dari belakang skru tu, maka terkeluarlah dia.


6. Tengok kat anak panah tu. Bila anda tarik choke, kabel choke akan menarik benda hitam kat jari saya tu untuk tutup lubang angin carburetor dan mencekik carburetor (sebab tu nama dia choke). Bila carburetor dicekik, angin dihalang masuk ke dalam carburetor dan memberikan lebih sedikit minyak untuk dibakar supaya memudahkan enjin sejuk dihidupkan pagi-pagi (kot).


7. Begitulah rupa bila carburetor dicekik. Lubang angin ditutup, minyak disuap lebih. Sebab tu anda tidak digalakkan bawa motor sambil buka choke, kerana ia ibarat setting minyak lebih, setting angin tutup habis. Tak bagus untuk kesihatan enjin anda. Selak corong getah kotak angin tu, tarik choke, dan anda akan nampak 2 skru dalam bulatan tu. Skru tu anda kena buka untuk menyelesaikan projek ni. Hati-hati! Jangan sampai 2 skru tu jatuh ke dalam carburetor. Kalau jatuh nanti nak kena buat tutorial lain lagi. Skru driver yg saya gunakan, skru driver untuk buka skru laptop, seperti dalam gambar.


Jangan pakai bunga skru driver yg tajam. Pakailah bunga yg tumpul, takut rosak pulak bunga skru yg ikat choke slider tu. Kalau tak pasti bunga skru driver tu tajam ke tak, tangguh dulu projek ni.

8. Begitulah ceritanya.. Gambar di bawah menunjukkan apabila choke slider telah dibuka.


Choke slider dengan skrunya simpan di tempat yg selamat. Kalau hilang susah nak cari ganti.


Dah cabut choke slider tu, pasanglah balik segala. Cara pasang, gostan lah balik step kat atas ni. Dah selesai.. 8 step je? Ala senangnya. Bukan susah mana pun. Semua orang boleh buat. :-)

Oh kalau anda nak cabut batang yg ikat choke slider tu boleh juga. Tarik je benda hitam kat tepi yg pegang batang choke slider tu. Mr. Z cakap :

"Kalau nak buka batang yg ikat choke slider tu, mula-mula buka cap (penutup hitam) kat tepi carburetor tu, kemudian tarik keluar je batang tu. Nak pasang balik pun masukkan balik je batang tu, lepas tu tutup balik dengan cap hitam tu. Selesai."

Gambar dicuri dari Mr. Z


Sekali lagi diingatkan bahawa segala yg saya tulis ni saya sendiri dah buat, dan setakat ni tak ada apa masalah bagai. Saya mengambil risiko ini sendiri dan saya tahu apa akibatnya kalau saya buat benda ni. Kalau anda tak pasti dengan risiko yg anda mungkin akan lalui, anda TIDAK DIGALAKKAN untuk buka choke slider ni. Dapatkan nasihat pomen yg pakar. Saya cuma pomen asal boleh.

p/s : Setakat ni tutorial bergambar je boleh buat. Tutorial bervideo kena tunggu bila ada masa dan mangsa :-)