Thursday, 27 June 2013

Honda Future 101 - Cara-cara menukar minyak enjin Honda Future

Assalamualaikum dan salam sejahtera.. Alamak dah sampai 5000km. Nak pergi kedai tukar minyak enjin malas pulak. Tukar sendiri je lah.. Tapi tukar sendiri rajin pulak? Ah apa-apa je lah. Nak buat intro pun fikir bagai nak rak wakaka. Ok untuk entry kali ni kita belajar cara untuk tukar minyak enjin, atau sinonim dengan rakyat Malaysia 'tukar minyak hitam', sendirian berhad.

Cara ni ada dalam buku manual Honda Future sebenarnya. Rajin atau tidak je kita nak membacanya. Dan saya percaya, cara ni juga boleh digunapakai kat hampir kesemua kapcai Honda (dan beberapa kapcai selain Honda) cuma mungkin berbeza pada saiz nat bawah enjin dan beberapa faktor lain.

Peringatan, cara ini mungkin akan merosakkan nat bawah enjin dan/atau o-ring pada dipstick enjin motor anda. Segala risiko yang diambil adalah atas diri sendiri, dan saya tidak akan menanggung segala kerosakan yang anda buat sendiri. Dapatkan nasihat pomen berdekatan anda. Sendiri buat sendiri tanggung lah.

Ok let's start! Bahan-bahan yang diperlukan ialah :


Kain lap (buat lap mana yang patut)
Spanar bulat (torque wrench) saiz 17
Playar gabung (untuk buka dipstick)
Corong minyak yang dikerat separuh (senang nak isi minyak)
Surat khabar lama (buat lapik tak payah basuh lantai nanti)
Bekas tadah minyak enjin lama (takkan nak tadah pakai tangan)
Penyukat cecair (nak sukat minyak)
Minyak enjin cap lintah kuat wakaka

Tapi sebelum tu! Kita kena tahu minyak enjin apa yang sesuai untuk enjin Honda Future. Ini yang saya ringkaskan dari buku manual Honda Future mukasurat 67 :

Gred SAE 10W-30
API SG dan ke atas (API SH, SJ, SL, SM, SN)
Tanpa pelincir tambahan seperti 'graphite' atau 'molybdenum'
Tanpa 'energy conserving'
JASO MA (bukan JASO MB)
Disyorkan minyak enjin Honda, tapi boleh je nak pakai minyak enjin lain

Kalau anda tak faham apa benda menatang ni, tak apa. Ikut je apa yang disyorkan oleh Honda atau anda boleh tanya saya, sebab panjang jugak ceritanya. Jemu nak baca nanti.

Ok dah tahu minyak enjin yang sesuai, pertama sekali kita kenal pasti dulu nat mana yang nak kena buka. Nat dia kat bawah enjin, saiz 17. Tonggeng sikit tengok bawah enjin.


Dia sorang je yang bersaiz 17. Lain-lain semua kecik saiznya.


Ok dah kenal pasti, boleh longgarkan nat 17 tu dengan spanar bulat. Longgarkan sahaja, bukan buka habis.


Pusing ke kiri untuk longgarkan nat 17 tadi. Ingat, "righty tighty, lefty loosey".


Bila dah longgarkan dan nat tu boleh pusing dengan tangan, jangan buka dulu nat tu. Alas dulu bawah enjin dengan bekas tadah minyak enjin lama dan surat khabar lama, dan pastikan bekas tadah tu selari dengan nat yang bakal dibuka.


Lepas tu baru buka habis nat tadi pakai tangan. Kalau enjin panas lagi pakai lah glove ke, kain ke.


Maka jatuhlah minyak enjin ke ladang gandum...


Laa kuning lagi minyaknya. Boleh lajak sikit lagi ni. Tapi tak apa tukar awal. Ikut nasihat tuan Hadi Hussien, kalau selalu 'peluru' minyak enjin tukar 1000km sekali, tak kisah brand apa pun.

Hadi Hussien tu siapa? Kalau anda ni peminat tegar motorsikal dan dunia permotoran tapi tuan Hadi Hussien pun tak kenal, boleh jual dah motor tu.. Haha gurau je brader, rileks. Klik sini untuk mengenali tuan Hadi Hussien : http://iamalaysian.com

Tips dari pakar enjin Honda : Masa yang terbaik untuk tukar minyak enjin adalah pada waktu enjin panas.. Ya enjin panas, ini bukan gurauan. Ini kerana bila enjin panas, minyak enjin berada dalam keadaan cair dan lebih mudah dikeluarkan. Bukanlah maksudnya masa enjin sejuk tidak boleh keluarkan minyak enjin, cuma bila anda keluarkan minyak enjin semasa enjin sejuk, kotoran yang mendap dalam enjin mungkin tidak terkeluar bersama minyak enjin lama. Maka sebab itu disyorkan minyak enjin lama dikeluarkan semasa enjin panas. Anda juga boleh kickstart slow-slow semasa mengeluarkan minyak enjin untuk membantu mempercepatkan proses pengeluaran minyak enjin. Kickstart slow-slow ya, bukan kickstart macam nak start motor. Kalau tak caya boleh tengok buku manual Honda Future mukasurat 69-70.

Ok cukup pasal minyak enjin. Kita tengok gambar bawah ni. Nampak bulatan merah tu? Itu adalah saiz bulatan nat kalau saya buka washer nat tu. Tapi malangnya washer tu dah melekat dengan nat, dah tak boleh buka washer tu. (maaf tuan Hadi, saya cakap washer tu melekat kat enjin rupanya melekat kat nat tu). Masa Futurians pergi tukar minyak enjin kat kedai tuan Hadi hari tu, hampir semua Honda Future bila buka nat bawah enjin, tiada washer! Ini mungkin berlaku bila anda tukar minyak enjin di kedai ah beng, dan ah beng tu tak pasang balik washer tu, atau mungkin dari kilang tak dipasang washer? Mungkin terlupa? Mungkin tak nampak? Macam-macam mungkin. Pasang nat bawah enjin tanpa washer bukan tak boleh, tapi sangat tidak digalakkan. Mana tahu nat tu haus bunga dia (cross-thread), dah tak boleh buka. Kalau tak boleh buka nat, macam mana nak tukar minyak enjin? Maka sila ambil perhatian dengan nat dan washer ini demi kesejahteraan hidup anda.


Habis tentang nat. Minyak enjin yang dah digunakan tu nak buat apa? Buang lah nak simpan buat apa. Buat minyak rantai? Tak sesuai. Buang je. Tak ada guna pun. Tapi jangan buang kat longkang ke tanah ke. Kalau boleh cari lah botol yang tak guna, masukkan dalam tu, buang kat bengkel motor berdekatan anda. Biasanya kedai motor ada tong drum yang besar tu, memang khas untuk buang minyak enjin terpakai. Jagalah alam sekitar kita.


Lepas dah tak ada minyak enjin keluar, boleh lah tutup semula lubang bawah enjin tadi dengan nat. Pusing ke kanan dulu pakai tangan, bila tangan dah tak boleh pusing baru pakai spanar bulat.

Lagi tips dari pakar enjin Honda : Masa yang terbaik untuk tutup lubang bawah enjin dengan nat adalah pada waktu enjin sejuk.. Haha nampak. Buka masa panas, tutup masa sejuk. Masa panas, semua benda kembang. Nat kembang, enjin kembang. Kalau tutup jugak lubang bawah enjin tu masa enjin panas, peluang bunga nat rosak (cross-thread) sangat tinggi. Jadi anda kena panaskan enjin, buka nat bawah enjin, tunggu 3 jam, baru tutup balik wakaka.


Pusing ke kanan nak tutup nat bawah tu. Pusing dalam 1/8 hingga 1/4 pusingan. Jangan lebih! Nanti haus bunga nat tu, susah nak buat benang (threading) balik.


Selesai buang minyak enjin lama. Sekarang nak sumbat minyak enjin baru. Masukkan minyak enjin baru kat penyukat cecair dalam 700ml. Saya masukkan 800ml, sebab selalu jalan jauh, sudah lah jalan jauh, 'peluru' sepanjang masa, lebih baik isi lebih. Kalau sekadar jalan dalam bandar, 700ml sudah memadai.


Buka dipstick dengan playar gabung. Pusing kiri untuk buka. Kalau tak nak ada kesan gigitan playar kat dipstick tu, letak kain dulu baru gigit.


Dah buka, cek o-ring yang ada pada dipstick tu. Kalau dah koyak/pecah, kena ganti lain. Kalau tak nanti meleleh minyak enjin keluar dari lubang tu.



Sumbat corong minyak yang dah dikerat separuh kat lubang tu...


...apa lagi kasi tuang itu minyak suci...


Lepas dah tuang habis minyak enjin baru, masukkan balik dipstick, tutup kejap...


...panaskan enjin dalam 3-5 minit...


Buka balik dipstick tadi. Lap hujung dipstick kat kain, jangan ada kesan minyak sikit pun.


Celup dipstick ke dalam lubang enjin. Celup je, jangan tutup ke, pusing kiri kanan ke.


Cek paras minyak enjin anda. Sepatutnya ngam-ngam antara HI dan LO. Tapi kalau lebih HI sikit, tak apa. Jangan kurang dari LO.


Saya isi 800ml, jadi paras minyak enjin berada di atas sikit dari HI. Kalau berada di bawah paras LO atau tak jejak langsung LO, topup sikit minyak enjin supaya berada di antara HI dan LO.


Kalau cun semua, boleh tutup lubang minyak enjin dengan dipstick pakai playar gabung. Tak perlu ketat bagai nak rak, cukup sekadar tenaga manusia tak boleh buka dengan jarinya. Tapi kalau anda jenis cek  paras minyak enjin hari-hari, boleh tutup pakai tangan je. Saya buat macam ni sebab nak elak orang dengki bubuh pasir dalam enjin. Ada ya orang macam ni, jangan cakap tak ada.


Dengan menutup lubang minyak enjin tadi, maka selesai sudah upacara menukar minyak enjin sendirian berhad. Tepuk tangan untuk diri anda sendiri. Yahoo~

Sekali lagi diingatkan, risiko tanggung sendiri. Saya tidak akan jemu mengingatkan anda kerana segala perbuatan anda mungkin akan mempengaruhi kesihatan enjin anda pada jangka masa panjang. Saya faham dan mengerti akan risiko ini, anda juga sepatutnya begitu. Saya tidak akan bertanggungjawab sekiranya motor Honda Future anda mempunyai masalah selepas anda mengikut cara ini. Dapatkan nasihat pomen berdekatan anda.

Dan jangan lupa layan video yang sempat kami rakamkan ketika kami melawat ke Iamalaysian..
kat bawah ni..


Honda Future 101 - Cara membuka tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entry kali ini dibawakan khas untuk anda oleh tuan presiden kita, Rashimy Abd Rashid. Baru-baru ni beliau ada buat satu projek baik punya, projek apa? Buat masa ni projek tu dirahsiakan.. Haha kalau nak tahu, follow blog ni. Kita akan update dari semasa ke semasa. :-)

Ok kali ni, seperti yang tertulis pada tajuk, kita nak buka tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future. Mungkin anda tertanya-tanya. "Nak buat apa buka?" "Buang masa je buka" dan macam-macam spekulasi lain. Kita pun bukan saja-saja suka-suka nak buka. Adalah benda nak buat. Nak buka absorber ke, nak buat wiring rahsia ke, nak servis fuel line ke, fikirlah sendiri nak buat apa.

Seperti biasa, segala kerja-kerja yang dilakukan adalah atas risiko sendiri. Anda tidak digalakkan untuk mengikut cara ini jika anda tidak yakin atau tidak tahu apa objektif anda untuk buka tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future ini. Dapatkan nasihat pomen yang terdekat.


Tu dia.. Tempat duduk terbuka sekali dengan kebuk simpanan, satu pakej. Jadi macam mana nak buka ni? Pertama sekali, kena ada alat yang sesuai, iaitu...



Tak tahu apa nama sebenar dia. Ada orang panggil spanar T, ada orang panggil T. Tapi ini sajalah yang diperlukan. T saiz 8mm.

Ok dah tahu nak guna alat apa, kita kenal pasti pula skru mana yang nak kena buka.


Nampak ada 2 skru dalam dan 2 skru luar kebuk simpanan tu? Skru ni yang kena buka supaya boleh buka tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future. Semua skru saiz 8.



Begitulah rupa skru saiz 8 tadi bersama lapiknya.


Kat tangki minyak ada wayar yang melekat kat tangki tu. Wayar ni yang menentukan minyak anda ada di paras mana di meter Honda Future anda. Wayar tu anda tarik keluar dari sendal dia...


...macam tu, supaya bila buka kebuk simpanan tu tak adalah tertarik sekali wayar tu. Tak apa, nanti nak pasang balik kita masukkan balik dalam sendal dia.

Kemudian boleh dah tarik slow-slow kebuk simpanan. Tarik slow-slow mula dari kiri...


...lepas tu kanan...


Hati-hati! Belah kiri kebuk simpanan tu ada satu cangkuk yang memegang wayar dan fuel line (aliran minyak) jadi anda kena tarik keluar wayar dan fuel line ni dulu dari cangkuknya supaya tak tercabut wayar dan fuel line ni.



Lepas tarik keluar wayar dan fuel line tadi dari cangkuknya, boleh dah tarik keluar slow-slow kebuk simpanan dan tempat duduk.

Ini rupa cangkuk yang dimaksudkan...



Tu dia kantoi skru driver baru beli.. Dengan ini terbukalah sudah tempat duduk dan kebuk simpanan Honda Future. Cara nak pasang balik, macam biasalah, gostan balik step di atas. Sekali lagi diingatkan, risiko tanggung sendiri. Rosak ke, patah sana sini ke, kami tak tanggung. :-)