Sunday, 27 October 2013

Rantai kendur? Mari kita belajar asas mengetatkan rantai pemacu!

Salam semua! Diharap semua sihat sejahtera di samping keluarga, kawan-kawan & motosikal tersayang! Kali ni, saya ingin berkongsi cara-cara mengetatkan rantai yang longgar.


Disebabkan kesibukan dengan tugas-tugas harian, sesetengah penunggang dilihat mengabaikan keadaan rantai dan membiarkan ia terus menjadi longgar. Rantai yang longgar tidak dapat memberikan keselesaan optimum kepada penunggang, begitu juga dengan rantai yang terlalu ketat.

Bagi motosikal Honda Future, anda hanya perlu menyediakan spanar yang bersaiz 19, 14, 12 & 10 mm. Letakkan motosikal pada penegak tengah dengan gear neutral and suiz penghidup dimatikan. Longgarkan nat ‘axle’ sebelah kiri & kanan menggunakan spanar 14 & 19 mm seperti dalam gambar di bawah.



Kemudian, longgarkan nat pengikat (guna spanar 10 mm) pada kedua-dua bahagian ‘swingarm’ seperti dalam gambar di bawah.


Seterusnya, pusingkan nat penyelaras (spanar 12 mm) yang terdapat pada kedua-dua belah pengubahsuai rantai pemacu supaya penyelarasan dilakukan pada bilangan pusingan yang sama untuk mengetat ataupun melonggarkan rantai pemacu.


Penyelarasan rantai perlu dibuat di tengah-tengah, iaitu di antara ‘sprocket’ depan dan belakang. Pusing roda belakang dan periksa kelonggaran rantai pada bahagian lain. Kelegaan rantai yang disyorkan seperti dalam buku manual ialah 25-35 mm (1.0-1.4 in).



Periksa penjajaran ‘axle’ belakang dan pastikan tanda indeks selari dengan slot penyelaras belakang.



Ketatkan balik ‘axle’ rantai menggunakan spanar 19 & 14 mm. Kemudian, ketatkan penyelaras rantai menggunakan spanar 12 & 10 mm.




Tadaa, rantai sudah ketat, dah boleh teruskan perjalanan baik jarak jauh mahupun dekat dengan selesa. Diingatkan bahawa rantai pemacu hendaklah diperiksa dan diminyakkan pada tiap-tiap 500 km untuk ketahanan rantai yang optimum. Tidak dinafikan, jenis dan harga rantai juga memainkan peranan dalam menentukan kualiti dan ketahanan rantai, tapi kita sebagai penunggang motosikal perlulah mengambil langkah yang proaktif dan bijak dalam memilih alat ganti. Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di lain waktu.