Salam semua! Diharap semua sihat
sejahtera di samping keluarga, kawan-kawan & motosikal tersayang! Kali ni, saya ingin berkongsi cara-cara
mengetatkan rantai yang longgar.
Disebabkan kesibukan dengan tugas-tugas harian, sesetengah penunggang
dilihat mengabaikan keadaan rantai dan membiarkan ia terus menjadi longgar. Rantai
yang longgar tidak dapat memberikan keselesaan optimum kepada penunggang,
begitu juga dengan rantai yang terlalu ketat.
Bagi motosikal Honda Future, anda hanya
perlu menyediakan spanar yang bersaiz 19, 14, 12 & 10 mm. Letakkan
motosikal pada penegak tengah dengan gear neutral and suiz penghidup dimatikan.
Longgarkan nat ‘axle’ sebelah kiri & kanan menggunakan spanar 14 & 19
mm seperti dalam gambar di bawah.
Kemudian, longgarkan nat pengikat (guna
spanar 10 mm) pada kedua-dua bahagian ‘swingarm’ seperti dalam gambar di bawah.
Seterusnya, pusingkan nat penyelaras
(spanar 12 mm) yang terdapat pada kedua-dua belah pengubahsuai rantai pemacu
supaya penyelarasan dilakukan pada bilangan pusingan yang sama untuk mengetat
ataupun melonggarkan rantai pemacu.
Penyelarasan rantai perlu dibuat di tengah-tengah, iaitu di antara ‘sprocket’
depan dan belakang. Pusing roda belakang dan periksa kelonggaran rantai
pada bahagian lain. Kelegaan rantai yang disyorkan seperti dalam buku manual
ialah 25-35 mm (1.0-1.4 in).
Periksa penjajaran ‘axle’ belakang dan
pastikan tanda indeks selari dengan slot penyelaras belakang.
Ketatkan balik ‘axle’ rantai menggunakan
spanar 19 & 14 mm. Kemudian, ketatkan penyelaras rantai menggunakan spanar
12 & 10 mm.
Tadaa, rantai sudah ketat, dah boleh
teruskan perjalanan baik jarak jauh mahupun dekat dengan selesa. Diingatkan
bahawa rantai pemacu hendaklah diperiksa dan diminyakkan pada tiap-tiap 500 km
untuk ketahanan rantai yang optimum. Tidak dinafikan, jenis dan harga rantai
juga memainkan peranan dalam menentukan kualiti dan ketahanan rantai, tapi kita
sebagai penunggang motosikal perlulah mengambil langkah yang proaktif dan bijak
dalam memilih alat ganti. Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di lain waktu.